Perodua sasar eksport naik 79% pada 2024 berbanding 2023; Alza dan Axia kini sudah dijual di Brunei
Perodua mensasarkan jualan eksportnya akan mencecah 1,960 unit untuk tahun ini, berbanding 1,094 unit yang direkodkan pada 2023. Jika sasaran itu berjaya dicapai, ini bermakna jenama automotif dari Rawang berkenaan bakal menyaksikan kenaikan untuk jualan eksportnya mencecah 79%.
Menurut Perodua dalam kenyataan yang dikeluarkan, sasaran tersebut dibuat selepas Alza dan Axia generasi baharu dilancarkan di Brunei baru-baru ini, di mana sebanyak 12o unit Alza AV dan H serta 40 unit Axia AV dan G telah dieksport ke Brunei pada 3 Mei lalu. Malah Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan adalah sebanyak 460 unit.
“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Beliau turut menjangkakan pertumbuhan yang berterusan akan berlaku di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.
“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami. Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.
“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat
ganti,” katanya lagi.
Dua model yang disebutkan tadi baru sahaja dilancarkan di Brunei di mana Alza AV dijual pada harga B$30,900 (RM108K), Alza H berharga B$27,900 (RM98k), Axia AV berharga B$21,900 (RM77k) dan Axia G berharga B$17,900 (RM63k). Perodua Bezza 1.0L G pula dijual pada harga B$16,900 (RM59k) di sana.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.