Kia EV9 2024 dibuka tempahan di Malaysia – pengedar kata dua varian, jangkaan RM450k, lancar Mei ini
Kia Malaysia telah mengumumkan menerusi laman Facebook rasminya bahawa tempahan bagi Kia EV9 kini telah dibuka. Walau bagaimana pun, syarikat ini masih belum memberikan sebarang perincian termasuk varian dan harganya. Namun selepas bertanya kepada beberapa pengedarnya, mereka berkata terdapat dua varian iaitu enam- dan tujuh-tempat duduk, dijangka berharga sekitar RM450k dan bakal dilancarkan pada Mei ini.
Sebelum ini, ia juga pernah dikesan di Glenmarie, Selangor, dan kami sendiri pernah melihat secara lebih dekat dengan SUV ini di Bangkok International Motor Show (BIMS) dan juga Singapore Motorshow. Apabila dilancarkan di sini, EV9 bakal menyertai EV6 dan Niro EV dalam barisan kenderaan elektrik (EV) Kia Malaysia.
Di Thailand, EV9 ditawarkan dengan dua varian, kedua-duanya diberikan bateri lithium-ion 99.8-kWh. Jika menggunakan pengecas pantas DC maksima 350 kW, ia boleh mencapai tahap pengecasan 10-80% dalam masa 24 minit. Manakala jika menggunakan pengecas AC (Type 2), ia mengambil masa sekitar sembilan jam dan 45 minit untuk mencapai tahap 10-80%. Ia juga boleh berfungsi sebagai sistem vehicle-to-load berkapasiti hingga 3.58 kW untuk menyalurkan kuasa aksesori dan peranti elektrik.
Untuk model asas, Earth Long Range, ia mampu memberikan jarak gerak hingga 680 km (NEDC) dan motor elektrik yang dipasang di belakang mampu memberikan kuasa hingga 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 350 Nm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.4 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai pada 185 km/j.
Bagi spesifikasi tertinggi GT-Line AWD pula, ia menerima dwi-motor dan larasan pacuan semua-roda dengan keseluruhan kuasa cecah 385 PS (380 hp atau 283 kW) dan 700 Nm – berkeupayaan memecut 0-100 km/j dama 5.3 saat, mencapai kelajuan maksimum cecah 200 km/j dan jarak gerak hingga 647 km (NEDC).
Kedua-dua varian EV9 untuk spesifikasi Thailand diberikan bentangan tempat duduk 2-2-2, dengan Earth Long Range diberikan tempat duduk larasan manual dan barisan kedua yang boleh dipusingkan. Semantara GT-Line AWD didatangkan dengan tempat duduk relaxation dengan larasan elektrikal tetapi tidak boleh dipusingkan, dan diberikan fungsi pemanas, ottoman dan urut. Versi tujuh-tempat duduk (bentangan 2-3-2) bagi EV9 memilih bangku pada barisan kedua dengan fungsi one-touch tilt dan boleh ditolak ke tepi.
Pasaran Singapura pula menerima varian GT-Line dengan penjana kuasa AWD (jarak gerak 512 km memgikut WLTP) dan pilihan sama ada tempat duduk relaxation atau yang boleh dipusing. Untuk lain-lain pasaran, SUV ini juga ditawarkan dengan bateri standard 76.1 kWh dan motor elektrik belakang dengan kuasa 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 350 Nm.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.